Saturday 21 April 2012

TANAH DAN AIR MATA PENEROKA

Negara dihambat kemajuan. Boleh kata setiap hari berdepan hambatan pembangunan. Umumnya, andai kita tidak hadir dengan satu bentuk pembangunan yang boleh merubah lanskap, Malaysia pasti akan terkebelakang. Jika dilihat kepada  program pembangunan yang dicanang kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru hingga kepada Program Transformasi hari ini, kita tidak nafikan akan rekod yang dicapai. Walau bagaimanapun, kita yakin dalam kejayaan itu sudah pasti akan ada yang terpaksa dikorban malah lebih menyedihkan terpelanting jauh dari merasai manfaat pembangunan yang dijalankan.  Dari perspektif lain, sudah pasti tertubuhnya banyak agensi kerajaan yang akan menyelaraskan urusan dan usaha di setiap kementerian. Tidak terkecuali salah satunya adalah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)

Felda dan Sejarah

54 tahun lalu Felda dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau nama ringkasnya LKTP. Terdiri daripada 275 tanah rancangan dan menempatkan 177 ribu keluarga peneroka. Di bawah konsep FELDA 800 ribu hektar tanah telah dibangunkan. Dua pertiga berkonsepkan pekebun kecil dan satu pertiga berkonsepkan ladang. Felda dibangunkan dengan pinjaman dari Bank Dunia bernilai RM 8 billion. Itu cerita lama. Kekal dalam lipatan sejarah.

Matlamat Yang Dilupakan

Antara matlamat penubuhan FELDA adalah memberikan tanah kepada para peneroka yang tidak memiliki tanah tercapai apabila hakmilik dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri selain daripada meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat peneroka FELDA. Hakmilik yang dikeluarkan merupakan hakmilik pajakan 99 tahun dan dikeluarkan setelah peneroka menjelaskan bayaran kembali kepada pihak pengurusan yang merangkumi kos pembangunan tanah rancangan tersebut.

Namun begitu, masalah lazim yang dialami oleh peneroka di mana-mana lokasi tanah rancangan sekalipun adalah kelewatan memperoleh hakmilik walaupun segala bayaran telah diselesaikan sehingga peneroka perlu menunggu beberapa tahun untuk memilikinya. Namun begitu, apa yang berlaku sekarang ini seolah-olah FELDA dilihat cuba menguasai tanah-tanah rancangan yang belum diberi milik secara penuh untuk dicagarkan kepada pihak ketiga iaitu FGVH. Memang benar sesetengah  dakwaan bahawa generasi kedua dan ketiga FELDA kurang melibatkan dalam aktiviti pertanian setempat tetapi apakah mereka sanggup melihat tanah kepunyaan ayah, ibu atau datuk, nenek yang diteroka sejak sekian lama mereka dicagarkan tanpa sebarang jaminan keuntungan masa depan.

Tidak Belajar Dari Masa Lepas

Hasrat FELDA dan Kementerian yang bertanggungjawab untuk memabantu masyarakat baru FELDA mungkin tapi apakah mereka benar-benar berpijak di atas bumi nyata. FELDA mungkin boleh mempengaruhi orang kampung untuk menyertai skim penyenaraian ini dengan pelbagai taklimat tentang kebaikan bertapa sempurna manfaat yang akan diperolehi kelak tetapi mereka langsung tidak boleh melenyapakan kebimbangan anak muda khususnya generasi kedua FELDA akan kemungkinan-kemungkinan masa depan yang akan merugikan mereka. Sebagai contoh; kita dapat lihat kepada apa yang berlaku ke atas FELDA Cahaya Baru di Johor. Atas nama pembangunan segera, manfaat yang baik, berapa ramai penduduk FELDA jadi  ‘pak sanggup’ untuk menerima kesan langsung ke atas skim projek yang boleh dikatakan gagal dengan jayanya. Malah ada sebahagian mereka dijanjikan pampasan hampir RM1 juta tetapi hampas yang mereka terima. Penulis bukan hendak menyalahkan mana-mana pihak, cuma apa yang penting di sini adalah tanggungjawab membela nasib rakyat harus diutamakan. Tetapi ia berlaku sebaliknya. Bagaimanakah pimpinan-pimpinan kawasan menterjemahkan tagline kebanggaan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”?. Di saat rakyat sempit lagi serba kedaifan malah memang harus didahulukan, di mana anda sekalian pimpinan?. Apakah FELDA sebagai sebuah badan yang berautoriti akan hal tersebut?. Itu belum lagi diceritakan apa yang berlaku di Tanah rancangan FELDA yang lain misalnya di FELDA Sungai Buaya, FELDA Sendayan dan FELDA Gugusan Chini.

Bukan satu dendangan

Mungkin ini sebahagian cerita tanah rakyat di FELDA. Penulis yakin banyak lagi kes berkaitan tanah sejak dulu hingga kini bahkan yang terbaru berlaku di sekitar kita. Antara lain yang perlu diberikan perhatian adalah pembinaan loji penapisan minyak terbesar di Pengerang yang mana melibatkan pengambilan balik tanah sekitar kampung berdekatan. Banyak kebimbangan yang boleh dilontarkan untuk pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri fikirkan. Itu belum lagi kes berkaitan perumahan terbengkalai yang melibat memakan masa berbelas tahun khusus seperti apa yang berlaku di Kempas dan seluruh Malaysia amnya .Walau bagaimanapun dalam permasalahan FELDA dan peneroka wajar diteliti dengan sebaiknya. Kita akui FELDA sebagai merupakan sebuah agensi pembangunan luar bandar yang telah membawa perubahan yang besar dalam membangunkan tanah luar bandar. Dahulunya FELDA dikenali sebagai sebuah ejen pembangunan luar bandar yang menempatkan peneroka yang tidak memiliki tanah dengan menjalankan kegiatan pertanian ladang. Apakah FELDA mahu istilah agen pembangunan ini ditukar kepada pencuri tanah rakyat kelak?. Sudah tentu tidak!.

Mana-mana parti yang menerajui Negara atau negeri sekalipun harus diingat hak-hak rakyat khususnya soal tanah harus diutamakan bukan mengutamakan pihak lain yang ada kepentingan. Penulis percaya setiap pemimpin tahu akan tanggunjawab dan beban amanah yang digalas. Oleh yang demikian, pemimpin seharusnya memudahkan urusan rakyat untuk mendapatkan tanah, bukan dengan menafikan hak tersebut yang sah di sisi Perlembagaan. Ingatlah siapa kita, kalau bukan datangnya juga dari rakyat!. Dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat. 


Gamis Inspirasi Anak Muda!

No comments:

Post a Comment