Friday 8 March 2013

WANITA : JURUBINA MASYARAKAT CEMERLANG

WANITA : JURUBINA MASYARAKAT CEMERLANG



SEJARAH STATUS WANITA


Tanggal 08 Mac 2013 merupakan satu tarikh penghargaan buat insan yang bergelar wanita kerana hari ini adalah Hari Wanita Antarabangsa (International Women’s Day). Sejarah Hari Wanita Antarabangsa diceritakan dalam pelbagai versi, ada yang mengatakan bahawa ianya muncul ketika zaman Revolusi di Russia pada tahun 1917 dan ada juga yang mengatakan bahawa ianya mula diraikan apabila Persatuan Wanita Sosialis Antarabangsa memilih tarikh ini untuk dijadikan sebagai Hari Wanita Sedunia pada tahun 1975. 

Walaupun peristiwanya berbeza tetapi matlamatnya adalah sama iaitu memartabatkan hak kaum wanita di muka bumi, memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita sama ada yang berkerjaya mahupun suri rumahtangga. Pada zaman dahulu termasuklah zaman arab Jahiliyah yakni zaman-zaman sebelum kedatangan Islam, wanita sering kali dengan kepercayaan pembawa malapetaka, mereka ditindas tanpa sebarang kebebasan fizikal dan spiritual. Sejarah keganasan melampau pada zaman Arab Jahiliyah jelas terserlah dengan sifat kejam yang tertanam di jiwa para suami dan bapa sehinggakan apabila isteri sedang mengandungkan anak perempuan, mereka akan bersiap siaga menggali kubur biarpun bayi perempuan itu belum lahir ke muka bumi.


Di saat bayi itu dilahirkan, belum pun sempat si bayi membuka mata mengenal dunia, melihat cahaya dunia, bayi perempuan itu akan ditanam secara hidup-hidup ke dalam liang lahad yeng telah disediakan. Si bapa percaya bahawa kelahiran seorang anak perempuan akan membawa bencana seperti akan mencemarkan nama keluarga sehingga keluarga yang akan menanggung malu. Sebaliknya berlaku andai anak lelaki yang dilahirkan, mereka akan berbangga dengan setiap kelahiran anak lelaki.


Walaubagaimanapun, kedatangan Islam menjadi penawar buat kesedihan dan penderitaan wanita. Segala penindasan, kezaliman dan penghinaan ke atas wanita telah dihentikan. Islam mengembalikan hak- hak wanita, segala-segalanya yang telah dirampas seperti kedudukannya, hartanya dan maruahnya juga telah dikembalikan.


Martabat wanita diangkat kembali dan kepentingan wanita dalam kehidupan di dunia diiktiraf kembali oleh kaum lelaki sebagaimana Adam meminta dikurniakannya seorang teman yakni Hawa untuk menemaninya menjalankan kehidupan sebagai manusia di syurga jua di muka bumi.



PERANAN WANITA ARUS MODEN


Ketahuilah bahawa disebalik raut wajah yang lembut itu, tergalas tugasan yang sangat besar sebagai seorang wanita. Di sini suka saya utarakan ruang utama dimana wanita banyak memainkan peranannya.



1.   Institusi rumah tangga dan keluarga

Bagi sebuah rumahtangga dan keluarga adalah terbina dari hubungan suami isteri dan anak. Firman Allah S.W.T :

Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadi bagi kamu dari isteri kamu itu anak, cucu dan memberi rezeki dari yang baik (Al-Nahl:72)


Rumahtangga merupakan asas kepada pembentukan sesebuah masyarakat. Anggota masyarakat yang yang baik asalnya daripada keluarga yang terdidik. Kepincangan dalam masyarakat sebahagiannya adalah berpunca daripada keretakan keluarga. 

Perlu diketahui, hidup berkeluarga bukanlah tuntutan adat semata, tetapi amanah Allah. Bagi menghayati rumahtangga yang terjamin keharmonianya adalah berdasarkan tiga asas utama iaitu hubungan berasaskan ketaqwaan, pergaulan dan peribadi yang mulia serta melaksanakan tanggungjawab bersama. 

Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai cabaran di pihak wanita dalam berhadapan dengan suami dan anan-anak. Maka, kesabaran adalah perlu bagi mengelakkan perpecahan.


2.   Wanita dan masyarakat

Tanggungjawab membangunkan masyarakat supaya menghayati Islam menjadi tanggungjawab bersama. Begitu juga wanita menjadi sayap kiri lelaki dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar serta menyebarkan dakwah. 

Dalam menunaikan tugasan pembinaan masyarakat, terdapat beberapa ciri penting yang perlu ada pada setiap wanita iaitu :


a.    KeIslaman dan keimanan yang teguh dan jelas

Penglibatan lahiriah dalam Islam adalah jelas daripada kepercayaan yang teguh terhadap rukun iman  dan konsep hidup Islam serta yakin sepenuhnya kepada Allah swt. Dialah pemberi rezeki dan penentu keadaan sama ada kebaikan dan keburukan.

Iman yang hakiki membentuk keseluruhan peribadi dan hati budi wanita solehah. Kekuatan jiwa, keikhlasan hati dan kehalusan peribadi menjadikan mereka lebih kuat daripada batu dan besi.


b.    Berilmu

Wanita hendaklah memenuhkan jiwanya dengan ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan sebagai alat yang boleh membina diri wanita dan masyarakat. Beberapa tokoh cendiakawan wanita terdahulu seperti Aisyah isteri Rasulullah saw yang mahir dalam bidang ilmu hadis, Fatimah Al-Zahra puteri Rasulullah mahir di dalam ilmu Fiqh. 

Manakala isteri Harun Ar-Rasyid, Siti Zubaidah di bawah kebijaksanaannya, dibina empangan Ain Zubaidah di Mekah. Kesemua tokoh-tokoh ini mencerminkan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh para wanita mampu menjadi bekalan yang penting untuk membangunkan masyarakat. 

Berkata Maryam Jameelah :


Wanita yang buta huruf dan lesu tidak mungkin akan dapat menghadapi pengaruh anti Islam yang mengancam anak-anak siang dan malam. Hanya ibu yang bijak, berpelajaran dan bersemangat sahaja boleh menghadapi tugas-tugas ini.


c.    Sentiasa melatih rohani untuk khusyuk kepada Allah

Al-Zakirat ialah wanita yang selalu berzikir mengingati Allah swt. Lisannya tidak banyak menceritakan keburukan orang lain, tetapi lebih banyak menyebut yang positif dan membangun. Tetapi tidak pula membisu dalam menentang kemungkaran dan kezaliman.


Tanda hati yang telah diresapi iman apabila dia menjadi tenang, bening dan merendahkan diri. Hatinya khusyuk, mesra ketika mengadah kepada Allah ketika ramai mahupin keseorangan dan sentiasa ingat bahawa pandangan Allah tertumpu padanya. 




3.   Wanita dan Negara


Wanita berperanan ke arah pembentukan Negara Islam. Sebagai contoh, dalam Negara yang yang mengamalkan demokrasi kuasa memilih terletak di tangan rakyat. Maka menjadi tanggungjawab wanita menyertai sistem politik pilihanraya serta menyedarkan anggotanya betapa penting undi rakyat untuk menentukan ketua Negara dan sistem pemerintahannya.


Wanita tidak rela tinggal bediam diri tanpa menentang kebatilan. Terkilan hatinya jika tidak turut serta menyertai perjuangan. Kerana itu, Nusaibah telah mengetuai delegasi berjumpa Rasulullah saw memohon kebenaran untuk mereka mengambil bahagian dalam jihad sebagaimana yang disertai oleh kaum lelaki. 



KESIMPULAN


Gejala penjajahan pemikiran barat telah menular dalam kehidupan wanita hari ini seperti menjadikan wanita sebagai alat perdagangan, hiburan dan pengiklanan. Hal ini menyaksikan peranan wanita adalah penting dalam menghadapi arus penjajahan hari ini.


Wanita mestilah melihatkan kemampuan ilmu dan berfikiran tinggi dalam mempertahankan kemurnian aqidah dan akhlak di tengah-tengah masyarakat yang penuh cabaran ini. Sesungguhnya, tangan yang menghayun buaian juga bisa menggoncang dunia.


Dengan penuh keinsafan dan menyedari realiti wanita hari ini, Sinergi Gerakan Mahasiswi [ SIGMA GAMIS ] bersedia menyatakan komitmen untuk  “ Merintis Ketrampilan Holistik Wanita Muda Malaysia “ agar praktikaliti Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh dapat dinikmati bukan sahaja generasi Muslim malahan penganut bukan Islam juga.


SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA 2013! 


Aqilah Mukhtar,

Pengerusi SIGMA GAMIS,

2012/2013.

No comments:

Post a Comment